Konteks Berasaskan Topik (sambungan)
Oleh: Ibnu Abdillah
(Sila baca Pembukaan KPS di sini)
Wahyu
MEREKA yang berpendirian bahawa hadis-hadis, iaitu segala perkataan Nabi, adalah wahyu cenderung mempertahankan pegangan mereka itu dengan ayat yang melibatkan proses penurunan wahyu sebagaimana berikut;
Dan ia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Apa yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (53:3-4)
Nabi Muhammad adalah seorang manusia. Sebagai seorang manusia yang waras, beliau mempunyai kemahuan dan kemampuan untuk berfikir dan menyatakan fikiran sepertimana manusia-manusia yang lain juga. Jadi mustahil semua yang beliau ucapkan bukan datang daripada kemahuan dan fikirannya sendiri setiap kali beliau berucap, kecuali pada ketika tertentu sahaja di mana beliau menerima wahyu daripada Tuhan, yang dilafazkan sebagai ayat-ayat Quran. Dengan lain perkataan, ucapan Nabi itu terbahagi kepada perkataan-perkataan yang;
(1) diucapkan tanpa menurut “kemahuan dan pendapatnya sendiri”, setiap kali beliau melalui proses penerimaan wahyu dan terus membacakannya. Bacaan itu adalah ayat-ayat suci Al-Quran. Ini sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang nabi dan rasul.
(2) diucapkan berdasarkan “kemahuan dan pendapatnya sendiri” sebagai seorang manusia.
Jelaslah bahawa ayat 53:3-4 sebenarnya merujuk kepada situasi tertentu dan spesifik sahaja dalam kehidupan Nabi. Ucapan Nabi dalam kategori (2) itulah yang, kalau kita mahu, dipanggil hadis, dan diucapkan dalam kehidupan biasa Nabi.
Maka hadis itu bukanlah wahyu, apatah lagi jika sesuatu hadis itu diada-adakan atas nama Muhammad! Sesetengah daripada kita tidak sanggup menerima kenyataan bahawa, dalam kebanyakan hal, Nabi Muhammad itu seorang manusia seperti kita semua, dan sekaligus menepis hujah ini. Apakah kita lupa akan apa yang diajarkan Tuhan kepada Nabi?
Katakanlah, “hanyasanya aku seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawasanya Tuhan kamu tiada yang lain melainkan Tuhan yang satu.” (18:110)
Setelah menyaksikan sendiri proses penurunan wahyu dengan mata kepala mereka, orang-orang kafir mula menuduh Nabi sebagai sesat dan menyeleweng, kerana keadaan beliau yang di luar kapasiti seorang manusia biasa yang normal pada saat itu (keadaan sebegini juga tentunya menimbulkan rasa hairan dan takjub di kalangan para sahabat). Tuduhan melulu ini ditepis oleh Tuhan, lalu dijelaskan apa sebenarnya yang sedang dialami oleh Nabi Muhammad, dan bagaimana ia berlangsung.
Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Muhammad), tidaklah ia menyeleweng, dan ia pula tidak sesat. Dan ia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Apa yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. Wahyu itu disampaikan dan diajarkan kepadanya oleh Yang amat kuat gagah. Lagi Yang mempunyai kebijaksanaan; dari kedudukanNya yang tertinggi. Sedang (malaikat Jibril) berada di arah yang tinggi di langit. Kemudian ia mendekatkan dirinya kepada Nabi Muhammad, lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit. Sehingga menjadilah jarak di antara mereka sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi. Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya apa yang telah diwahyukanNya. (53:1-10)
Ayat 53:1-10 adalah sebuah gambaran lengkap tentang kejadian-kejadian khusus yang dialami Nabi sepanjang hidup beliau, melibatkan penurunan ayat-ayat Quran daripada Tuhan, melalui Jibril dan Muhammad, kepada umat manusia. Maka perhatikanlah bahawa dengan berpandukan ayat 53:3-4 sahaja - yang diletakkan di awal tulisan ini - tidak membantu kita dalam memahami topik perbicaraannya secara tepat. Walaubagaimanapun, konteks yang jelas dapat dilihat bilamana ayat 53:3-4 dibaca bersama-sama ayat sebelum dan selepasnya, iaitu ayat 53:1-2 dan 53:5-10. Pemahaman terhadap topik perbicaraan ayat-ayat Quran adalah suatu kemestian dalam menyingkapi konteks yang yang terkandung di dalamnya.
bersambung...