Saturday, 24 April 2010

Contoh ayat mutasyabihat

Contoh ayat mutasyabihat (sambungan)

Oleh: Ibnu Abdillah

(Sila baca Pembukaan KPS di sini)

Fenomena syurga

APAKAH benar bahawa syurga itu mengalir sungai-sungai di bawahnya, sehingga kita boleh membayangkan realiti sebenar syurga?...

Ayat 198 daripada Surah Ali-Imran berbunyi;

……syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Ada banyak lagi ayat Al-Quran yang memerihalkan syurga sedemikian. Kenapa?...

Harus difahami bahawa Al-Quran diturunkan kepada umat manusia melalui wahyu Tuhan kepada Nabi Muhammad, yang hidup di kalangan masyarakat semenanjung tanah Arab, yang kebanyakan kawasannya hanyalah gurun nan kontang lagi tandus. Apa yang amat diperlukan oleh masyarakat Arab ini ialah sumber-sumber air sebagai nikmat yang menyejukkan mata, yang menyebabkan tanah menjadi subur, padang pasir menjadi padang ragut dan tempat bercucuk tanam, sehingga dapatlah mereka meneruskan kelangsungan hidup. Maka alangkah seronok dan ghairahnya mereka ini bila bertemu dengan mata-mata air, oasis, dan sungai-sungai, yang bagi mereka, semua ini ibarat 'syurga’ padang pasir.

Realiti Syurga di Akhirat

Manusia tidak akan pernah mengecapi nikmat syurga di akhirat, melainkan setelah melalui proses kematian, kebangkitan semula, dan penghisaban di padang mahsyar. Kita tidak pernah memiliki pengalaman bagaimana nikmatnya syurga di akhirat itu. Kerana itulah di dalam Al-Quran, keadaan syurga di akhirat dijelaskan sekadar yang sesuai dengan pengalaman manusia, dan tidak menggambarkan realitinya yang sebenar. Seseorang manusia tidak mampu memahami kenikmatannya sehinggalah dia sendiri memasukinya di akhirat kelak (jika dia seorang yang beriman dan beramal soleh). Bukan Tuhan tidak berkuasa untuk menjelaskan kenikmatannya kepada manusia, tetapi manusialah yang tidak mampu memahaminya, seandainya realiti sebenar syurga dibongkarkan. Walaubagaimanapun, gambaran-gambaran syurga yang dinyatakan dalam Al-Quran sudah cukup untuk memberi isyarat betapa nikmat, seronok, dan puasnya berada di dalam syurga.

Analogi yang boleh dibuat adalah seperti hubungan antara kemanisan madu dan gula. Orang yang hanya pernah merasai gula tidak mampu memahami kemanisan madu dengan tepat. Dia tahu bahawa madu itu manis, tetapi tidak tahu bagaimana manisnya madu berbanding gula. Kemanisan madu itu unik adanya. Oleh kerana itu, kemanisan sebenar madu tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Orang yang pernah merasai madu sahaja tahu bagaimana manisnya madu. Walaubagaimanapun, pengetahuannya tentang kemanisan gula banyak membantunya untuk ‘menggambarkan’ kemanisan madu, walaupun secara samar-samar. Tetapi kemanisan madu yang hakiki itu hanya akan dapat diketahuinya bila dia sudah merasainya.

Begitulah analoginya, bahawa kenikmatan syurga di akhirat itu ibarat kemanisan madu, dan gambaran kenikmatan syurga di dalam Al-Quran itu adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej betapa ‘manis’nya syurga itu, dan mesej ini mampu difahami oleh manusia yang waras pemikirannya. Manusia mempunyai naluri yang dapat memahami erti kemanisan gula-gula kehidupan dunia yang terbatas dan sementara ini. Kerana itulah Tuhan berfirman;

Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda-gurau dan main-main.

– Al-‘Ankabut, 29:64

Mamadailah kemanisan gula-gula keduniaan itu sebagai perantara bagi manusia memahami realiti syurga. Bila realiti sebenar syurga tersingkap di akhirat, tahulah dia akan kemanisan ‘madu’ yang hakiki.

Yang datang, pulang,

Moga madu dikurnia Tuhan,

Manisnya bukan kepalang,

Tak terkias dek perkataan.

Di sini diperturunkan jawapan Rasulullah, apabila ditanya tentang syurga. Bahawa nikmat syurga itu adalah sesuatu yang

tiada mata yang pernah melihatnya, dan tiada telinga yang pernah mendengarnya, serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Nyatalah bahawa ayat “……syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai” itu adalah ayat mutasyabihat.

bersambung….

Isi kandungan KPS

4 comments:

Juang said...

Salam,

Bermakna ayat mustasyabihat boleh difahami tetapi memerlukan analogi atau perumpamaan. Begitulah cara sesuatu ayat mutasyabihat perlu dijelaskan agar masuk akal.

tajdidmelayu said...

Saudara Juang,
Memang benar, ayat mutasyabihat boleh difahami jika kena caranya. Dan kita tidak perlu takut untuk menyingkap tafsiran ayat ini.

Juang said...

Salam saudara Tajdid,

Cara saudara menggunakan analogi gula dan madu untuk menggambarkan nikmat syurga itu amat menarik. Penggunaan analogi adalah cara memudahkan kefahaman. Sebab itulah dalam Al Quran banyak perumpamaan-perumpamaan sehingga pengajarannya mudah difahami.

Selalu kita dengar kata-kata daripada kebanyakan orang Islam hari ini menjadikan perihal syurga-neraka sebagai alasan untuk tidak boleh berfikir dalam Islam, walhal di sekeliling kita ada perumpamaan-perumpamaannya untuk membantu kita mendapat serba-sedikit gambaran di alam sana.

tajdidmelayu said...

Salam Juang,

Terima kasih. Bahkan analogi boleh memberikan kesan yang mendalam kepada orang yang berniat baik dalam mengkaji Quran. Sekurang-kurangnya mesej Tuhan dapat sampai kepadanya melalui cara ini.

Dalam artikel ini saya mengupas suatu ayat mutasyabihat dengan menggunakan analogi. Dalam artikel "contoh ayat mutasyabihat(2)" pula, analogi tidak digunakan, tetapi saya mengajak para pembaca untuk memerhatikan ayat mutasyabihat secara kritikal.