Thursday, 29 October 2009

Nasionalisme

Oleh: Indera Pura


DALAM konteks bangsa Melayu dan negara-bangsa Malaysia, nasionalisme itu terbahagi kepada tiga;

(1) Nasionalisme Melayu

(2) Nasionalisme Malaysia

(3) Internasionalisme

Api nasionalisme Melayu harus dimarakkan. Jangan segan dan jangan malu tersipu-sipu. Api ini hakmilik kita. Biarkan ia menyala-nyala dan berkobar-kobar di dalam dada setiap manusia yang bernama Melayu..

Tetapi nasionalisme Melayu tanpa nasionalisme Malaysia merentungkan semangat patriotisme. Dan nasionalisme Malaysia tanpa nasionalisme Melayu membunuh identiti dan meruntuhkan kesatuan bangsa.. Begitu juga, nasionalisme Malaysia tanpa internasionalisme boleh melahirkan negara-bangsa yang kehaiwanan - yakni tidak manusiawi. Dan internasionalisme tanpa nasionalisme Malaysia menafikan kedaulatan negara-bangsa.. Maka ketiga-tiga bhgn nasionalisme Melayu - Malaysia - internasionalisme harus kita dukung secara bersepadu dan harmoni.

Oleh yang demikian, dalam konteks bangsa Melayu, semangat 1Malaysia saja tidak cukup. Ia harus diimbangi dengan semangat nasionalisme Melayu. Jika Najib menggagaskan slogan 1Malaysia sebagai PM Malaysia dan Pengerusi BN, apakah pula yang beliau gagaskan sebagai Presiden sebuah pertubuhan Melayu, UMNO? Identiti Melayu wajib kita jaga dan pelihara, dan kesatuan bangsa ini wajib diperkukuhkan. Hidup Melayu!

Secara literal, nasionalisme bererti kebangsaan. Ini bermakna PEKEMBAR atau UMNO mengiktiraf nasionalisme Melayu bukan saja pada dasarnya, bahkan juga pada namanya! Menjadi ahli UMNO bererti kesanggupan untuk mendukung nasionalisme Melayu. Tetapi apakah kita benar-benar mendukungnya? Atau sekarang ini kita berada di puncak hanya kerana dukungan parti? Jika beginilah keadaanya, maka kita akan terhempap 'bila' UMNO tersungkur.

Sesungguhnya semangat nasionalisme dan internasionalisme itu adalah hak asasi manusia. Sememangnya Allah menciptakan manusia itu berbangsa-bangsa dan bersuku-puak; "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan yang sama dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.” 49:13. Maka janganlah kita menjadi bebal dengan menafikan kejadian Tuhan ini. Yang penting, setiap manusia harus diperlakukan dengan adil dan saksama, baik sebagai individu, sebagai sebuah bangsa, sebagai sebuah negara-bangsa, maupun sebagai penduduk dunia. Ini merupakan salah satu daripada tiga tuntutan takdir Tuhan ke atas manusia (tuntutan-tuntutan itu ialah;

(1) Memerintah dan menakluk segala benda kejadian dalam alam ini.

(2) Memperlakukan sesama manusia dengan adil dan saksama.

(3) Menyerah diri, tunduk dan patuh pada Tuhan yang Esa, Tuan sekutah buana ini.

Sila baca mahakarya reformis bangsa Za'aba - 'Falsafah Takdir')

Nasionalisme mengiktiraf kewujudan bangsa yang beraneka ragam dan menganjurkan hubungan baik antara bangsa, sebagaimana Quran mengiktiraf kemajmukan bangsa dan suku-puak, serta menyeru ke arah kerjasama dalam soal-soal kebajikan dan takwa; "Bekerjasamalah dalam soal-soal kebajikan dan takwa. Jangan bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan perseteruan," 5:2.

Bahkan, Fasal 2 Piagam Madinah - hadis Nabi yang paling sahih - berbunyi; "Mereka adalah umat yang satu, membezakan mereka dalam kelompok umat manusia.".. 'Mereka' merujuk kepada seluruh warga Madinah, yang terdiri daripada pelbagai komuniti, terutamanya Arab Muslim dari Mekah, Arab Muslim dari Yathrib, golongan monoteis Yathrib yang lain, dan golongan yang masih beragama pagan pada ketika itu (rujuk juga Fasal 1). Mereka yang dimaksudkan dalam Fasal itu berbeza dalam ertikata bahawa mereka mempunyai negara-bangsa tersendiri yang berdaulat, dan membentuk satu kerakyatan. Ini mencelikkan mata kita bahawa Piagam Madinah yang digubal oleh Rasulullah itu sendiri mengiktiraf nasionalisme! Terutama sekali Fasal 2, yang menganjurkan nasionalisme negara-bangsa!..

Analogi konsep nasionalisme – internasionalisme adalah seperti semangat kekeluargaan, di mana kebajikan keluarga sendiri harus kita jaga, tanpa melupakan keluarga orang lain; jaga kebajikan kaum kerabat terdekat, tetapi jangan lupa pada kerabat yang jauh. Begitulah, kita harus jaga kebajikan bangsa sendiri, dan tidak lupa akan bangsa lain; Jaga rakyat negara sendiri, dan tidak lupa pada rakyat negara orang. Bukankah seluruh umat manusia ini sebuah keluarga yang maha besar?

Sebagai penutup, kita ingin mengajukan beberapa soalan kepada sebahagian ulama yang menuduh nasionalisme sebagai sesat; Apakah tuan-tuan tidak mengkaji Quran?.. Jika tuan-tuan tidak mengkaji Quran, kenapa tuan-tuan bergelar ulama?.. Jika tuan-tuan mengkaji Quran, kenapa nasionalisme didakwa sesat? That is what we want to know!

1 comment:

Juang said...

Semangat kebangsaan umpama semangat cintakan pasukan bolasepak yang kita sertai. Semangat kebangsaan itu penting untuk kita berlumba-lumba menaikkan bangsa kita, kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan oleh kaum itu sendiri.

Cuma dalam menyemarakkan api kebangsaan itu, janganlah sampai menghina bangsa-bangsa lain. Seperti mana kita mahu bangsa kita dihormati, begitulah perasaan yang ada pada bangsa-bangsa lain.

Jadi, gunakanlah semangat kebangsaan itu ke arah keharmonian sejagat. Kita bersaing dengan bangsa-bangsa lain dengan semangat setiakawan dan kejujuran. Akan indahlah bumi kita ini nanti.