Thursday, 27 August 2009

MENGENAI ISU PENDIDIKAN NEGARA

MUKADIMAH

LAGI mengenai isu pendidikan. Yang terbaru, orang Melayu terkejut dengan keputusan kerajaan membuka 10 peratus kuota dalam Program Matrikulasi dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kepada bukan bumiputera. Kemudian terdapat keresahan apabila jumlah pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) didapati cuma lima peratus.

Isu-isu ini menyusul selepas polemik pelajar Melayu lemah, graduan Melayu tidak fasih berbahasa Inggeris dan menganggur, cadangan sekolah aliran Inggeris dan keributan ujian pertama sistem meritokrasi. Apa yang pasti, semuanya berkisar tentang Melayu sehingga membayangkan pelajar Melayu terlalu lemah.

Setiap kali timbul isu dan kontroversi bidang pendidikan serta munculnya pelbagai cadangan, sistem pendidikan akan dipersalahkan akhirnya ia diubah dan diubah lagi.

Tokoh pendidikan dan ahli akademik yang masih aktif, Profesor Diraja Ungku Aziz mengakui sistem pendidikan negara sekarang semakin caca marba kerana sentiasa diubah. "Saya lihat perubahan sistem pendidikan adalah semata-mata memenuhi perjanjian atau kompromi politik... pendidikan bukannya bola untuk permainan politik. "Ia menjadi lebih tidak adil jika perubahan dilakukan dengan merampas hak istimewa bumiputera yang telah dipersetujui," katanya yang lebih dikenali sebagai Pak Ungku.

Pak Ungku optimis pelajar Melayu sebenarnya mampu bersaing. Tetapi ia tidak akan berlaku sekarang. Rombakan sistem kuota bukanlah jawapan untuk meningkatkan prestasi akademik Melayu, kata beliau "Soal kuota sudah selesai pada 1970-an, apa perlu diubah lagi. Yang penting biarlah 'kecacatan' Melayu dalam pendidikan dihapuskan dahulu," ujarnya.

Pak Ungku turut menyentuh isu bahasa pengantar Inggeris bagi subjek tertentu di sekolah, penggabungan IPTS dan pelajar lelaki Melayu tidak bermotivasi. Kerajaan mengejutkan orang Melayu apabila mahu membuka 10 peratus kemasukan bukan bumiputera dalam Program Matrikulasi dan MRSM. Ini merupakan satu langkah politik. Tidak ada kena- mengena dengan perkara lain. Ia didorong pengaruh politik. Ada orang fikir ini untuk beri persaingan kepada pelajar Melayu sebab
sekarang mereka tidak bersaing.

Logik alasan untuk persaingan itu tidak jelas. Kalau hendak orang bersaing kita patut tukar sistem. Itupun kalau soal persaingan begitu penting bagi kita. Kalau kita rasa perlu ditambah lagi persaingan, kita boleh tambah. Yang peliknya kekurangan dan masalah asas pelajar Melayu tidak dipandang. Sebaliknya soal persaingan lebih disibukkan.

Beliau yakin kalau tujuannya ialah untuk mewujudkan persaingan ada teknik lain.
Pak Ungku turut tidak setuju dengan kuota 10 peratus itu dan menganggap keputusan kerajaan itu sekadar keputusan politik. Ini dibuat kerana perjanjian politik untuk memuaskan hati bukan Melayu yang nampaknya seperti kata pepatah, beri betis hendak paha. Jadi, ini soal sama ada kita mahu menjual paha atau tidak. Itu persoalannya sekarang. Kalau mahu jual sangat paha itu, juallah kalau itu saja
yang boleh dapatkan sokongan bukan Melayu.

Isu kuota ini sudah selesai selepas 13 Mei 1969 dulu. Ketika itu Melayu lemah dan perlukan bermacam-macam bantuan supaya kedudukan kita boleh sama (dengan bukan Melayu). Sebenarnya kita perlu sediakan pelajar Melayu yang boleh bersaing dan tidak gagal dalam persaingan.

Kita mesti ada program untuk menyediakan pelajar terbabit supaya mempunyai harapan menang dalam persaingan. Dalam bola sepak, kita pandai cari jurulatih untuk menang, kalau pelajar mana jurulatihnya. Inilah soalnya. Jadi kalau isunya ialah untuk Melayu bersaing, kita mesti gunakan teknik yang lain. Kuota lebih kepada bukan Melayu tidak mengatasi masalah prestasi Melayu.

Satu lagi tujuan kuota 10 peratus kepada bukan Melayu itu ialah perpaduan dan integrasi kaum. Tetapi pendapat ini sukar diterima memandangkan didalam soal integrasi dan perpaduan kaum ini kalau dibincangkan dalam konteks misi atau wawasan, hanya boleh tercapai sepenuhnya mungkin 50 atau 100 tahun daripada sekarang.

Tetapi pada masa ini, tahap perpaduan yang dicapai di Malaysia sebenarnya sudah amat baik. Negara kita menjadi model kepada dunia. Bandingkanlah Malaysia dengan seluruh Asia Pasifik dan Asia Tenggara, kita jadi model iaitu boleh hidup satu tempat walaupun berbilang kaum. Dan ini juga adalah alasan politik yang diperbesar-besarkan dan lebih sibuk dalam soal ini ialah parti bukan bumiputera.

Sebenarnya yang berasa lemah sekarang ini ialah orang Melayu. Bukannya bukan Melayu kuat sangat, tidak. Jadi, kalau yang rasa lemah itu Melayu, kenapa hak orang Melayu pula yang diambil?. Ini kerana pemimpin Melayu tidak berbalik atau lihat masalah yang sepatutnya mereka selesaikan. Ini termasuk mengurangkan kemiskinan orang Melayu terutama di luar bandar.

Turunlah ke padang, lihatlah masalah dan kekurangan pelajar Melayu di sekolah-sekolah terutama di luar bandar. Kemudian cari jalan selesaikan masalah fundamental ini. Ini termasuk juga soal pemakanan seimbang dan berzat, kemudahan belajar, alat-alat sokongan pembelajaran dan persekitaran sekolah.
Sekiranya ini dapat diyakin , kedudukan pelajar Melayu termasuk di luar bandar akan jauh lebih baik.

Dengan mengubah sedikit dasar pendidikan, ini memang merugikan orang Melayu. Lama-kelamaan seumpama tikus membaiki labu. Ubah sana sedikit, ubah sini sedikit. Sebagai orang lama saya nampak masalah itu tidak akan selesai dengan cara ubah dasar. Sedangkan pada masa yang sama, orang bukan Melayu makin lama makin kuat. Memang tuntutan 17 perkara oleh Suqiu dulu sudah senyap. Sebabnya mereka boleh dapat benda lain.

Mereka cuba dapatkan sedikit demi sedikit. Daripada betis sudah sampai ke lutut. Ini masalahnya iaitu strategi kita berhadapan tuntutan orang bukan Melayu.

Menurut Pak Ungku ”Saya sayang orang bukan Melayu. Saya hormati budaya dan sistem pendidikan mereka baik. Tetapi jangan rampas hak orang Melayu”.

Penarikan kuota 10 peratus milik bumiputera itu boleh diterima jika IPTS yang kini dibanjiri pelajar bukan Melayu dibuka seluas- luasnya kepada pelajar Melayu. Di IPTS kita beri pasaran bebas. Apa yang hendak dilakukan terpulang kepada mereka. Siapa ada duit boleh belajar di situ. Kalau pelajar Melayu ada duit atau dapat biasiswa, boleh belajar di IPTS.

Sebaliknya kalau di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kita mesti berbalik kepada tahun 1970. Iaitu kenapa ketika itu diadakan universiti-universiti ini iaitu untuk memberi lebih banyak tempat kepada orang Melayu mendapat pendidikan tinggi.

Kerajaan perlu definisikan masalah sebenarnya. Adakah masalahnya ialah persaingan di kalangan pelajar Melayu. Atau masalahnya kurang Melayu. Atau masalahnya kurang bukan Melayu? Jadi keputusan yang diambil oleh kerajaan itu perlu dikaji semula.

Sebagai ahli akademik berpengalaman, apa yang Pak Ungku lihat ialah sistem pendidikan negara yang terlalu kerap mengalami pindaan dan perubahan. Ini adalah kerana apa yang berlaku sekarang, kebanyakan pemimpin apabila kena cuit sedikit, mereka melenting. Mereka ini bersifat reaktif. Bila ada masalah baru lakukan sesuatu. Jadi akhirnya seperti tikus membaiki labu.

Ini suatu keadaan yang tidak baik untuk bidang pendidikan negara. Tidak banyak yang proaktif iaitu berfikir jauh ke hadapan. Kita patut mempunyai rancangan jangka panjang. Dan kita mesti tegas dan tetap dengan perancangan itu. Kalau kita hendak berubah, biarlah selepas 10 tahun atau lebih.

Apabila sistem pendidikan yang selalu berubah, yang menjadi mangsa bukan sahaja kaum Melayu malah semua kaum. Bagaimanapun, bercakap mengenai Melayu, kita harus ingat mengenai kedudukan mereka masa kini. Dalam keadaan sekarang, kecacatan dalam pembelajaran dan pendidikan lebih banyak ditanggung oleh pelajar Melayu.

Ini kerana mereka bermula dengan 'cacat'. Lahir saja ke dunia, belum pun mula belajar lagi sudah 'cacat'. Mereka kebanyakannya miskin. Apabila bersekolah, mereka banyak kekurangan dan kurang kemampuan. Mereka kurang sana sini.

Mereka tidak dapat beli buku yang cukup dan tidak makan makanan berzat dan seimbang sebelum ke sekolah. Di sekolah pula, kemudahan pembelajaran dan persekitaran juga tidak baik. Dengan 'kecacatan' ini bagaimana mereka mahu bersaing?

Pada keseluruhannya, lebih daripada 65 peratus pelajar di universiti awam adalah perempuan. Kita kena fikir kenapa pelajar perempuan lebih bermotivasi berbanding pelajar lelaki. Untuk jawapannya, kita kena lihat balik kepada soal persaingan.

Maksudnya, lelaki tidak mahu bersaing. Apa yang kita hendak janjikan kepada pelajar lelaki Melayu ini sebagai motivasi kepada mereka untuk bersaing.

Atau, apa yang hendak kita lakukan kepada minda pelajar lelaki Melayu? Kita kena definisikan masalah terlebih dahulu. Ini supaya kita dapat menggalakkan minda mereka lebih sedia bersaing.

Macam mana pun, kita patut berbangga dan terima hakikat bahawa statistik itu membuktikan pelajar Melayu sebenarnya mempunyai kebolehan? Kita kena sedar perbezaan statistik yang mewakili pelajar Melayu lelaki atau perempuan.

Kalau kita rasakan orang Melayu sekarang benar-benar sudah tidak perlukan lagi kuota kerana yakin sudah boleh bersaing, tiada masalah untuk membuka seluas-luasnya sekalipun.

Jika kita yakin dan boleh bersaing, memang kita boleh kekalkan statistik ini. Syaratnya, kita sudah yakin kita boleh menang dalam persaingan. Tetapi dengan sistem merit ini, kita cuma boleh lihat sama ada mereka boleh bersaing atau sebaliknya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Orang Melayu sama dengan orang lain jika mereka ada minat. Buktinya, hari ini pelajar perempuan Melayu telah buktikan mereka boleh bersaing dan boleh menang dalam persaingan. Persoalannya ialah apa yang telah terjadi kepada pelajar lelaki
Melayu.

Selepas lebih 30 tahun orang Melayu menikmati pelbagai hak keistimewaan, Pak Ungku fikir, adakah Melayu sudah mampu berdiri sendiri jika hak mereka termasuk kuota dalam bidang pendidikan ditarik sedikit demi sedikit?

Kita balik pada tahun 1970-an iaitu apabila telah dipersetujui supaya orang Melayu diberi 40 peratus dalam semua bidang untuk penyusunan semula masyarakat. Tindakan ini diambil supaya tidak ada satu-satu bangsa yang memonopoli mana-mana bidang.

Yang itu sampai sekarang pun kalau lihat statistik, kepentingan 40 peratus orang Melayu dalam semua bidang belum tercapai. Memang ada orang Melayu yang pegang syarikat korporat yang besar-besar. Tetapi manfaatnya kepada orang Melayu secara keseluruhannya terutama di luar bandar tidak diterima.

Orang Melayu boleh bersaing dan berdiri atas kaki sendiri tetapi sekarang bukan masanya. Ambil contoh pemberian kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera di matrikulasi dan MRSM. Kalau kerajaan fikir ia terbaik dan sudah buat keputusan muktamad, maka muktamadlah.

Tetapi lepas ini janganlah pula dibincangkan lagi. Kerajaan kena tunjukkan ia tegas supaya masyarakat ada disiplin. Bukannya sekejap beri 10 peratus dan kemudian tarik balik. Mengenai lepasan STPM dan matrikulasi yang mana ada cadangan beliau berpendapat beliau menerima pelaksanaan sistem satu peperiksaan atau peperiksaan tunggal bagi menentukan kelayakan ke universiti. Ia bukan satu permasalahan malah ini memudahkan kita dalam pemilihan pelajar. Kalau dilaksanakan, cuma gunakan sistem baru itu saja.

Kita tidak mahu kerajaan bertindak seperti tikus membaiki labu. Walaupun pada prinsipnya setuju dengan satu peperiksaan kemasukan ke universiti ini tetapi sebelum dilaksanakan, fikirlah habis-habis. Dan selepas diputuskan nanti, jangan diubah-ubah lagi.

Untuk memperbetulkan dasar pendidikan yang kerap berubah ini, parti politik yang memerintah mesti ada satu dasar yang mantap dan semua orang boleh terima.

Yang kedua, apabila dasar dan sistem sudah dipersetujui dan dilaksanakan ia tidak boleh diubah-ubah lagi. Jika tidak, disinilah timbulnya kompromi politik dalam pendidikan. Perubahan- perubahan pula dilakukan dalam jangka masa singkat.

Dalam bidang dan sistem pendidikan kita tidak perlu ada kompromi politik. Pendidikan tidak boleh jadi bola untuk permainan politik. Perbincangan kita ini nampaknya mengesan pertembungan antara tuntutan ekstremis Melayu dan ekstremis bukan Melayu. Orang

Kita mesti tunjukkan kepada ekstremis bukan Melayu apa yang telah mereka nikmati selama ini. Begitu banyak kekayaan negara ini yang telah mereka kuasai. Mereka juga dapat begitu banyak peluang dalam pendidikan. Majoriti kepentingan, mereka yang dapat. Tidakkah itu semua masih belum mencukupi untuk mereka? Kerajaan pula beri peluang kepada orang Melayu untuk mencapai kedudukan yang sama rata dengan bukan Melayu.

Dan bagi yang ekstremis Melayu, mereka tidak boleh lihat untuk merampas hak orang lain. Begitu juga bukan Melayu tidak boleh rampas hak orang Melayu.

Kita beralih kepada dilema orang Melayu di IPTS. Benarkah orang Melayu betul-betul tidak ada duit atau kemampuan menghantar anak-anak memasuki IPTS?

Cuba fikirkan, kalau hendak mengikuti satu-satu kursus saja, bayarannya lebih RM10,000. Mana orang Melayu ada duit sebanyak itu. Itu satu tahun, kalau tiga
tahun RM30,000. Saya bercakap dari segi keseluruhan atau pada umumnya berkenaan kemampuan orang Melayu.

Mengenai PPSMI, kepada guru, mungkin tidak banyak masalah kerana mereka boleh berfikir dalam bahasa Inggeris. Tetapi masalahnya, para pelajar Melayu ini tidak berfikir dalam bahasa Inggeris.

Lebih baik ajar mereka cara belajar dan cara membaca dalam bahasa Inggeris. Kuncinya ialah membaca. Kalau mereka sudah boleh membaca dan faham apa yang dibaca, 70 atau 80 peratus masalah sudah diatasi.

Lagi satu, kita tidak boleh terus ajar subjek di sekolah rendah dalam bahasa Inggeris tanpa persediaan peringkat lebih awal. Kalau tidak, mereka akan mengalami kejutan.

Pertama sebab saya katakan tadi, mereka tidak berfikir dalam bahasa Inggeris. Kedua, di peringkat Tadika tiada pendedahan kepada bahasa Inggeris. Saya perlu tegaskan bahawa kanak-kanak selepas umur 14 tahun barulah boleh terima dan menguasai tiga atau empat bahasa.

Orang Jepun, Hong Kong dan Taiwan misalnya, mereka boleh bercakap tetapi tidak fasih dalam bahasa Inggeris. Tetapi mereka boleh baca dan faham apa yang mereka baca dalam bahasa Inggeris.

Yang penting pada peringkat persekolahan bukannya belajar bercakap tetapi membaca. Kalau mereka boleh membaca dan faham sepenuhnya buku-buku berbahasa Inggeris, dunia ilmu untuk mereka terbuka seluas-luasnya.

Masalahnya, pasaran pekerjaan semakin mengutamakan mereka yang fasih berbahasa Inggeris, bukan setakat membaca. Apabila mereka sudah banyak ilmu dan boleh membaca bahasa Inggeris, barulah mereka belajar menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris.

Mereka di sekolah rendah tidak boleh menguasai banyak bahasa pada sesuatu masa. Sebab pelajar Melayu tidak ada latar belakang yang membantu mereka kuasai dan guna bahasa lain selain bahasa Melayu.

Sistem pendidikan negara sekarang amat sukar diuruskan kerana sistem yang kita ada sudah menjadi terlalu kompleks. Ia disebabkan antaranya terlalu banyak pemikiran dan keputusan jangka pendek di dalamnya.

Beliau menegaskan bahawa tokoh pendidikan terkemuka dunia daripada Napoleon, Al-Ghazali, Ibnu Khaldun dan lain-lain, kebanyakannya bukan orang politik.

Orang yang patut atau boleh merancang pendidikan ialah kumpulan yang banyak pengalaman mengajar dan terbabit secara langsung, bukannya orang politik yang mendominasikannya.
Kalau sebaliknya, inilah yang berlaku seperti sekarang apabila sudah ada naib canselor universiti yang tidak pernah pun mengajar di bilik kuliah.


PANDANGAN PROF DIRAJA UNGKU AZIZ - MENGENAI ISU PENDIDIKAN NEGARA pada wawancara bersama Mingguan Malaysia 9 Jun 2002.
Pautan : www.scribd.com/doc/.../Pandangan-Prof-Ungku-Aziz
Disusun semula : Buragas Alam

1 comment:

Anonymous said...

hello my beautiful world
hello everyone on this place!
i am Kate